top of page

ULANG ULANG

EKSPOSISI KEDUA /SECOND EXPOSITION

Ulang-Ulang adalah satu pameran eksperimental atas talian sebagai salah satu eksposisi dari kajian berasaskan praktis yang sedang saya jalankan di Pusat Pengajian Seni, USM. Pameran ini bersifat 'one-off' dan tidak kekal bergantung kepada kajian yang sedang saya jalankan. Pameran ini menampilkan 8 karya dalam bentuk GIF yang berulang-ulang. Terima kasih dan selamat mengapresiasi karya-karyanya.

​

Ulang-Ulang is an online experimental exhibition - an exposition of my current practice-based research in Pusat Pengajian Seni, USM. This is a temporary, 'one-off' exhibition depending on the research progress and needs. This exhibition features 8 artworks in the format of looping GIFs. Thanks for your appreciation of the artworks!

RUMAH/HOME: Welcome

PRAKATA / INTRODUCTION

Haris Abadi bin Abdul Rahim

Masih lagi, dalam eksposisi kedua ini, saya berlandas pada kesamaran memori dan kaitan konsepsualnya dengan pengaruh dan perkembangan media. Kesedaran kolektif berkaitan animasi, budaya, memori dan teknologi telah berkembang secara alami dalam membentuk karya-karya ini. Sebagai seorang yang lahir dan membesar pada tahun 80-an di suburban Kelantan, saya percaya sumber-sumber animasi Amerika dan Jepun, faktor sosio-budaya, era pra dan pasca internet, antaranya, telah menyumbang kepada kesedaran kolektif ini. Jujurnya, di zaman tanpa media sosial dahulu, kadang-kadang saya tertangkap diri merenung jauh dinding, awan (atau mozek tandas) atau pohon-pohon ditiup angin tanpa kesedaran tertentu. Wujud ‘ruang tengah’ yang saya terawangi di antara pengalaman sedar dan tidak sedar - yang mana fenomenanya sangat hampir dengan karya-karya animasi gelungan yang telah dihasilkan ini.

 

Pengembaraan ke dunia tiada mula dan tiada akhir ini boleh dianalogikan secara empirik seperti sebuah animasi gelungan. Kajian ini telah membawa diri menjejakkan kaki dan hati ke sebuah alam yang berulang-ulang, meditatif (atau mungkin juga hipnotik), tidak linear, dinamik, anjal dan tidak berpusat.

 

Sifat ingin tahu saya terhadap animasi gelungan (loop animation) bermula dari penglibatan dan pemerhatian saya berkaitan budaya digital dan kesan informasi teknologi. Melihat GIF sebagai suatu ‘gesture’ masyarakat masa kini yang bergantung pada komunikasi tekstual dan memiliki perhatian jangka pendek, saya cuba menerobosi alam ulang-ulang ini melalui landasan pemikiran dan falsafah tradisional dengan alasan melembutkan dan menyerap hentakan bentuk-bentuk media baru yang bersifat global.

 

Mencuba untuk tidak terlalu membincangkan perincian karya dalam prakata ini, saya hanya mengutarakan hal-hal yang menyentuh kesedaran peribadi dan sedikit proses penghasilan karya sebagai pembuka jalan.

 

Sesetengah bahagian dalam proses ini dihasilkan secara sedar dan digarap secara kognitif - dengan lakaran dan pra-visualisasi awal - seperti komposisi simetrikal, vertikaliti dan horizontaliti dalam pergerakan, simbol-simbol dan watak yang diolah semula dari bentuk-bentuk seni tradisional yang terdahulu. Antara contoh yang dapat dilihat adalah antaranya struktur simetri yang konsisten, motif Kala yang berubah menjadi benih/punca pasu, Makara kepada Bangau, Motif Bunga Teratai, simbol burung menuju puncak vertikal, Bunga Kantan dan lain-lain. Namun sesetengah bahagian lain terbit secara lebih semulajadi dalam penghasilannya. Berbeza dengan eksposisi pertama, karya-karya dari eksposisi kedua ini masih berdasar kepada beberapa elemen dan falsafah tradisional dari Pohon Beringin, seperti keseimbangan kosmos, konsep dualiti dan tingkat-tingkat kehidupan manusia antaranya, namun dibiarkan berkembang secara lebih bebas dan organik, dipandu oleh kesedaran-kesedaran lain yang lebih peribadi.

 

Saya percaya ramai seniman atau juruanimasi akan sentiasa gembira untuk memecah dan merobek prinsip animasi demi penerokaan peribadi sendiri. Dalam konteks ini, saya bukan sahaja menghasilkan animasi berulang yang tidak linear, malah memecah dan menyahkonstruksikan komposisi, graviti, ruang dan masa yang biasa ditemui dalam animasi konvensional - sebagai satu tindakbalas terhadap bentuk animasi popular yang telah menyelubungi dan mempengaruhi minda saya sejak dari kecil sehingga sekarang. Saya cuba menahan pergerakan, membiarkan ia terlekat di dalam ruang-masanya yang tersendiri - sepertimana Pohon Beringin memulakan dan mengakhiri sesebuah persembahan wayang kulit, memerangkap watak-watak rekaan dalam ruang-masa ciptaan seorang dalang.

 

Sebagaimana MC Escher menemukan inspirasi dari seni Arabesque Moorish di Istana Alhambra, atau pernyataan Laura U Marks berkaitan genealogi Islam dalam seni media baru, ternyata bentuk-bentuk kesenian telah berkembang dalam kitaran. Secara jujurnya, interpretasi semula adalah satu proses untuk saya berdialog dengan masa lampau. Tradisi, memori dan teknologi telah dihadam dan cuba dijawab dalam satu makna yang terkait. Apropriasi mempresentasikan Pohon Beringin, baik secara kontekstual atau historikal tidak akan pernah stabil dan sentiasa bervariasi seiring dengan masa. Strategi ini telah saya gunakan untuk memecahkan mitos budaya yang telah kukuh, mencipta mitos-mitos baru yang seharusnya dipecahkan pula di suatu hari nanti. Dengan itu maka seni dan tradisi tidak akan dilihat sebagai satu siri titik akhir ataupun sebuah resolusi, tetapi sesuatu yang sentiasa aktif, mampu dikorek semula, dikerjakan ataupun dikemaskini. 

 

Sememangnya wujud bentuk-bentuk pengulangan dan kitaran di sekeliling kita - elektron dan nukleus, bulan dan matahari, atau zikir-zikir dari alam - satu semangat primordial yang cuba saya tampilkan secara visual. Saya melihat pengulangan ini sebagai suatu tenaga yang berterusan dan abadi - seperti hubungan makhluk dan Pencipta.

 

Saya percaya animasi wujud dalam minda sebagai satu persepsi internal. Apa yang seniman atau juruanimasi lakukan dengan kesenian mereka adalah menyelongkar dan membuka tingkap untuk menemukan kembali pengalaman internal ini, seterusnya menterjemahkannya kembali dalam bentuk yang mampu diapresiasi ramai - persis Eadward Muybridge yang memecahkan pergerakan kuda agar perilakunya dapat disedari. Menghasilkan karya-karya ini ternyata suatu rahmat kepada saya untuk mengakses semula alam semulajadi seperti seniman-seniman tradisional terdahulu. Ternyata kompleksiti perkara-perkara yang biasa dan membosankan yang berlaku di sekeliling kita adalah sebenarnya kolam ilmu yang tidak berpenghujung - yang mana melatih saya untuk menjadi pemerhati yang amanah dan bertanggungjawab.

 

Haris Abadi Abdul Rahim

Eksposisi ke-dua

2019

RUMAH/HOME: About

KARYA/ARTWORKS

Skrol ke bawah / Scroll down

RUMAH/HOME: Text

Kitaran (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

Keluar-Masuk (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

Makara (2019)

Makara (2019)
RUMAH/HOME: Image

Lanskap-Lanskap (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

Panah-Panah (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

Disket Serangga (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

Kala-Kala (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

Kantan (2019)

giphy.gif
RUMAH/HOME: Image

HUBUNGI/CONTACT

Pusat Pengajian Seni USM / Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK

+60196228285

Thanks for submitting!

RUMAH/HOME: Contact
bottom of page